
Pengenalan
Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) adalah merupakan program tahunan anjuran di bawah Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam (MDPA) dan Matrikulasi. Setiap tahun, penganjuran seumpamanya akan diadakan secara penggiliran antara Universiti Awam yang menawarkan program Asasi. Kejohanan ini bukan sahaja terbuka kepada semua pelajar asasi Universiti Awam malah turut disertai pelajar Kolej Matrikulasi dan yang terbaharu sekali adalah Asasi Politeknik Malaysia (TVET).
Bagi tahun 2026, MDPA telah bersetuju melantik Pusat Asasi Pertahanan (PAP), UPNM sebagai tuan rumah bagi kejohanan SAM2026. Pihak Pusat Asasi Pertahanan telah menerima surat lantikan sebagai tuan rumah SAM2026 daripada Pengerusi MDPA kepada Naib Canselor, UPNM sebagaimana Lampiran 1 pada 9 September 2025.
Pada edisi kejohanan yang lepas di mana UMT selaku tuan rumah, seramai 1,296 atlet telah mengambil bahagian dalam 10 acara sukan yang dipertandingkan bagi merebut 33 pingat emas yang mana johan keseluruhan edisi yang lepas jatuh kepada Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa.
Bagi edisi ke-9 ini pula, sebanyak 11 acara sukan akan dipertandingkan bagi merebut 31 pingat emas, merangkumi tiga kluster utama sukan IPT, iaitu:
Sukan Fizikal: (bola sepak, takraw, ragbi, bola jaring, bola tampar, olahraga, badminton)
Sukan Minda: (catur)
Sukan Teknikal/Kemahiran: (tenpin boling, e-sukan: MLBB & PUBG).

Acara-acara ini bukan sahaja bertepatan dengan usaha membudayakan sukan di IPT, malah sebahagiannya adalah selaras dengan 20 Sukan Teras Prestasi Tinggi Negara yang menjadi fokus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Sukan Teras Prestasi Tinggi Negara: (Badminton, E-Sukan, Olahraga, Sepak Takraw, Tenpin Boling)
Penganjuran SAM2026 turut menyokong aspirasi Dasar Pembangunan Sukan IPT (DPSIPT) melalui tujuh (7) teras utamanya dan dua (2) inisiatif tambahan, iaitu:
7 Teras Utama:
Program Pembudayaan Sukan: Memperkasakan budaya sukan di peringkat IPT
Program Pembangunan Infrastruktur Sukan: Membangunkan kemudahan dan infrastruktur sukan di IPT.
Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan: Mewujudkan pusat-pusat yang fokus kepada pembangunan sukan peringkat tinggi.
Skim Kecemerlangan, Kebajikan, Insentif dan Penyelidikan Sukan (SKIPS): Memberi sokongan kepada atlet dari segi kebajikan, insentif, dan penyelidikan sukan.
Program Pembangunan Akademik Atlit: Memberi fokus kepada pembangunan akademik atlet untuk memastikan keseimbangan dengan aktiviti sukan mereka.
Program Promosi dan Jaringan Kerjaya: Membantu atlet dalam promosi dan pembangunan kerjaya mereka selepas bersukan.
Program Pembangunan Pengajian Sukan di IPT: Membangunkan dan memperkukuhkan bidang pengajian sukan di institusi pengajian tinggi.

